Enam juta pelawat masuk Johor sehingga Mac lalu – Exco

ISKANDAR PUTERI – Johor secara keseluruhan merekodkan kemasukan 6,077,194 pelawat bagi tempoh Januari hingga Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, jumlah tersebut meningkat sedikit berbanding 5,963,568 pelawat dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini mencerminkan momentum awal yang positif dan menunjukkan keberkesanan usaha promosi serta pelaksanaan pelbagai program pelancongan negeri.

“Dengan 6.08 juta pergerakan pelawat dalam tiga bulan pertama 2026 sahaja, Johor berada pada kadar yang setara atau lebih baik daripada prestasi tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Raven menjawab soalan lisan Azizul Bachok (BN-DUN Tiram) berkenaan jumlah pelancong yang masuk setakat Mac 2026 dan adakah mencapai sasaran yang ditetapkan sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Katanya, kempen Tahun Melawat Johor 2026 dimulakan secara menyeluruh melalui Program Sambutan Ketibaan Pelancong di pintu masuk utama udara, darat dan laut.

Jelasnya, inisiatif Tourism Johor itu dilaksanakan bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Tourism Malaysia serta melibatkan ketua jabatan di setiap kawasan.

Raven berkata, sekurang-kurangnya 16 pintu masuk terlibat dalam program itu, menunjukkan pelaksanaan awal yang tersusun dan memberi momentum positif kepada kempen.

“Dengan pencapaian ini, sasaran 12 juta pelancong serta RM42.48 bilion hasil pelancongan bukanlah sesuatu yang mustahil, malah mempunyai asas yang cukup kukuh untuk dicapai.

“Prestasi awal yang memberangsangkan ini menunjukkan Johor berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tersebut menjelang penghujung 2026.,” katanya.

Selain itu katanya, sektor pelancongan Johor turut mencatat pengiktirafan yang membanggakan apabila Tourism Johor menerima pengiktirafan Asia Record susulan rekod kemasukan pelawat antarabangsa tertinggi melalui laluan darat antara dua negara berdaulat dalam zon ekonomi khas dua hala.

“Sebanyak 24,698,199 pelawat antarabangsa direkodkan pada 2025, termasuk 19,387,115 pelawat dari Singapura, sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pintu masuk utama pelancongan negara dan antara destinasi pelancongan terpenting di rantau Asia Tenggara,” tambahnya.- MalaysiaGazette

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *