Johor mohon AirBorneo wujudkan laluan penerbangan JB ke KK, Kuching

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor melalui Tourism Johor memohon kerajaan Sarawak menerusi AirBorneo mewujudkan laluan penerbangan terus Kuching-Johor Bahru dan Kota Kinabalu-Johor Bahru bagi merancakkan sektor pelancongan negara.

Pengarah Tourism Johor, Muhammad Nazrul Abd Rahim berkata, beliau yakin AirBorneo iaitu syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak mampu memainkan peranan itu

Jelasnya, kewujudan laluan penerbangan berkenaan mampu memperkukuh hubungan antara Johor, Sabah dan Sarawak selain memudahkan pergerakan pelancong antara ketiga-tiga wilayah berkenaan.

“Johor komited menarik lebih ramai pelancong dari Sabah dan Sarawak untuk berkunjung ke negeri ini menerusi kerjasama strategik antara pemain industri pelancongan.

“Kita di Johor mahu lebih ramai pelancong dari Sabah dan Sarawak datang ke Johor dan saya berharap program ini dapat menjadi platform baharu yang hebat untuk kita mengukuhkan hubungan antara Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Borneo Meet Johor, Tourism Networking Dinner di sini, malam tadi.

Muhammad Nazrul berkata, pelancongan domestik kekal menjadi asas penting kepada industri pelancongan Malaysia dan mempunyai potensi besar untuk terus dikembangkan.

Ujarnya, rakyat masih mempunyai banyak destinasi menarik untuk diterokai dalam negara, sekali gus memberi peluang kepada penggiat industri tempatan memperkukuh pasaran pelancongan domestik.

“Pelancongan domestik kekal menjadi asas penting kepada industri pelancongan Malaysia dan masih banyak potensi untuk rakyat meneroka destinasi dalam negara sendiri,” katanya.

Menurut beliau, hubungan penerbangan yang lebih baik antara Johor, Sabah dan Sarawak juga berupaya merancakkan aktiviti pelancongan serta meningkatkan pergerakan pelancong domestik.

Pada masa sama katanya, kerjasama lebih erat antara agensi pelancongan dan pemain industri dari ketiga-tiga wilayah penting bagi mewujudkan lebih banyak pakej serta produk pelancongan yang mampu menarik pelancong.

Usaha berkenaan dijangka memberi manfaat terhadap industri hospitaliti, pengangkutan, makanan dan minuman serta perusahaan berkaitan pelancongan di Johor, Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *