KULAi – Kerajaan Johor meningkatkan secara agresif penganjuran aktiviti dan program pelancongan sempena kempen Tahun Melawat Johor 2026 dengan merangka lebih 100 acara melibatkan skala besar, sederhana serta komuniti di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jumlah program yang dirancang menunjukkan peningkatan ketara iaitu dua hingga tiga kali ganda berbanding pelaksanaan pada tahun sebelumnya.
“Kejayaan pelaksanaan program itu disokong perancangan menyeluruh hasil kerjasama strategik antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat industri pelancongan.
“Perancangan sektor pelancongan Johor telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan hari pertama Tahun Melawat Johor 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini semalam.
Kempen Tahun Melawat Johor 2026 dilaksanakan seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, melibatkan sambutan di semua pintu masuk utama negeri melalui laluan udara, darat dan laut bagi mengalu-alukan kehadiran pelancong tempatan serta antarabangsa.
Antara pintu masuk utama terlibat ialah LTAS, Terminal Feri Puteri Harbour, Terminal Feri Berjaya Waterfront, Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Desaru Coast, Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Tanjung Pengelih.
Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, bagi tahun ini lebih 100 acara telah disusun termasuk program sedia ada di peringkat desa dan komuniti.
Antara acara utama yang dijadualkan sepanjang tahun katanya, Festival Layang-Layang, Majestic Johor Festival dan Ledang Climbathon, di samping pelbagai inisiatif baharu serta berterusan yang akan dilaksanakan secara berfasa di kesemua 10 daerah Johor.
Mohd Jafni memaklumkan, kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong menjelang suku keempat tahun ini, yang dijangka menjana kesan ekonomi melebihi RM42 bilion kepada Johor.
“Sehingga September tahun lalu, Johor mencatatkan kehadiran 7.9 juta pelancong domestik dan antarabangsa yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di negeri ini,” katanya.
Johor, katanya, turut menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan ekopelancongan termasuk Taman Negara Tanjung Piai, Taman Negara Gunung Ledang, Taman Negara Endau-Rompin, Hutan Eko Rimba Gunung Pulai serta pantai-pantai menarik di Mersing.
Selain itu, ujarnya, beberapa tarikan baharu dijangka mula beroperasi pada suku pertama dan kedua 2026 antaranya Muzium Tokoh, Pusat Rekreasi Sungai Lebam di Kota Tinggi, Ekopelancongan Kampung Sungai Melayu (Paya Bakau), River Cross Sungai Johor, Pusat Rekreasi Danga Bay serta Pusat Gerai Daerah Kota Tinggi di Pengerang.
Daripada aspek penginapan, Johor kini mempunyai kira-kira 500 hotel berdaftar melibatkan hotel dua hingga lima bintang dengan lebih 8,000 bilik, tidak termasuk penginapan homestay yang terdapat di seluruh negeri.
Sementara itu, pelancong dari Jakarta, Indonesia, Erwin Saleh, 44, yang bercuti bersama lapan ahli keluarganya berkata, kunjungannya ke Johor merupakan pengalaman pertama bagi keluarganya.
“Kami bercuti selama tiga hari dua malam di Johor untuk menikmati tarikan taman tema Legoland sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur dan pulang ke Indonesia,” katanya.- MalaysiaGazette

