JOHOR BAHRU – Sektor pelancongan Johor mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan berprestij daripada Asian Records Organization sebagai destinasi dengan jumlah kemasukan pelawat tertinggi di Malaysia.
Pengarah Tourism Johor, Nazrul Abd Rahim berkata, pengiktirafan itu adalah berasaskan rekod kemasukan seramai 24.7 juta pelancong sepanjang 2025, khususnya melalui pintu masuk utama Johor ke Malaysia.
“Ini merupakan satu peningkatan yang sangat ketara dan membuktikan Johor kekal sebagai pintu utama pelancongan negara, selain menjadi pilihan utama pelawat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Konvensyen Tahun Melawat Johor 2026 dan Sambutan Hari Raya Industri Pelancongan Johor di sini hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Juri Asia Records, Eldrick Koh sekali gus mengangkat pencapaian Johor ke peringkat pengiktirafan serantau yang lebih luas.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut amat signifikan kerana hadir seiring pelaksanaan Tahun Melawat Johor 2026, sekali gus menjadi bukti kukuh terhadap keberkesanan strategi promosi dan pembangunan pelancongan negeri.
“Pencapaian ini juga telah dinaik taraf ke pengiktirafan peringkat Asia, melibatkan persaingan daripada 47 negara, berbanding hanya 11 negara sebelum ini,” katanya.
Rekod tersebut turut memperincikan jumlah keseluruhan kemasukan pelawat antarabangsa tertinggi melalui laluan sempadan darat antara dua negara berdaulat sepenuhnya dalam zon ekonomi khas dua hala bersama.
Daripada jumlah keseluruhan 24,698,199 kemasukan yang direkodkan pada tahun lalu, sebanyak 19,387,115 pelawat adalah dari negara jiran, iaitu lebih tiga kali ganda daripada populasi negara berkenaan.
Dalam pada itu katanya, Johor menyasarkan jumlah kemasukan pelancong yang lebih tinggi tahun ini dengan unjuran melebihi 25 juta pelawat, sejajar dengan momentum pertumbuhan semasa industri pelancongan.
Nazrul berkata, sasaran itu dilihat realistik berikutan sokongan berterusan daripada pemain industri serta peningkatan infrastruktur pelancongan negeri.
“Secara keseluruhannya, pencapaian ini bukan sahaja mengangkat imej Johor di peringkat antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia dan rantau Asia,” ujarnya.- MalaysiaGazette
https://malaysiagazette.com/2026/04/16/johor-rekod-kemasukan-pelawat-tertinggi-di-malaysia/


