JOHOR BAHRU, 16 April: Konvensyen Tahun Melawat Johor 2026 berjaya menghimpunkan lebih 400 penggiat industri pelancongan negeri ini dalam usaha memperkukuh ekosistem pelancongan yang lebih berdaya saing dan mampan.
Pengarah Tourism Johor, Nazrul Abd Rahim berkata acara tersebut turut melibatkan pelajar bidang berkaitan bagi memperkasa pengetahuan serta meningkatkan kemahiran serta lebih memahami keperluan sebenar sektor pelancongan.
Jelas beliau, tiga komponen utama diketengahkan sepanjang konvensyen bagi memberi nilai tambah kepada peserta industri.
“Komponen pertama melibatkan pembentangan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) berkaitan produk serta latihan keselamatan pekerjaan yang boleh dilaksanakan dalam sektor pelancongan, khususnya di hotel dan premis perkhidmatan.
“Keselamatan di tempat kerja merupakan elemen kritikal yang perlu diberi perhatian oleh semua pemain industri bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat serta pematuhan kepada piawaian ditetapkan,” katanya.
Komponen kedua kata Nazrul menyaksikan penyertaan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang membentangkan kepentingan perlindungan harta intelek dalam industri pelancongan, termasuk pendaftaran tanda dagangan bagi produk dan perkhidmatan.
“(Kesedaran mengenainya) penting bagi melindungi identiti sesuatu produk daripada disalah guna atau ditiru oleh pihak lain, sekali gus meningkatkan nilai komersial dan keaslian produk tempatan,” katanya.
Sementara itu, komponen ketiga jelas beliau memberi tumpuan kepada aspek hospitaliti menerusi sesi latihan dan taklimat oleh LEGOLAND Malaysia Resort yang berkongsi amalan terbaik dalam memberikan perkhidmatan mesra pelanggan, khususnya melibatkan petugas barisan hadapan.
Konvensyen dirasmikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Masni Wakiman mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. -TVS.


